This Space Will Be Updated from Time to Time
Media Unit
ProWaris Malaysia


PESANAN : SERUAN SUPAYA MELAYU PROFESIONAL BERSATU DI PROWARIS MALAYSIA


Assalamualaikum wbt.

Saudara-saudari sekalian,

Saya bagi pihak Barisan Peneraju, Ahli-Ahli Kehormat Majlis Penasihat dan seluruh warga Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris) Malaysia memohon agar saudara dan saudari sekalian dapat memanjangkan salam kasih dan hormat kami kepada seramai mungkin anak-anak Melayu Profesional di dalam dan luar negara.

ProWaris Malaysia membuka pintu seluas mungkin untuk menerima kehadiran ahli-ahli baru yang sedia berjuang dari segi waktu, tenaga, pemikiran dan sebagainya demi penyatuan semula Rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu dan yang beragama Islam.

Kami yakin dengan penggembelingan tenaga Melayu Profesional, kita akan berjaya kembalikan kemartabatan Bangsa Melayu dan Agama Islam sekaligus meletakkan kedudukan politik, ekonomi dan kesejateraan negara di tempat asalnya, insyaAllah. 

PROFESIONAL MELAYU
- BERANI, AMANAH, DISIPLIN, RAJIN, SETIA, TAQWA- 

Wassalam.

FERIZ OMAR
Presiden ProWaris Malaysia
Tel : 03-2164 6488  |  Faks : 03-2164 7488
www.prowaris. org
prowaris@yahoo. com
prowaris@yahoogroups.com

UNDI TIDAK PERCAYA TERHADAP PAK LAH LEBIH MUDAH DILAKSANAKAN OLEH B.N. BERBANDING P.K.R.

KUALA LUMPUR, 12 September 2008 | 12 Ramadhan 1429H - Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris), Feriz Omar hari ini merasakan bahawa undi tidak percaya oleh Barisan Nasional (BN) terhadap Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden BN dan UMNO adalah lebih mudah dilaksanakan jika dibandingkan dengan kempen undi tidak percaya yang dicadangkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Barisan Rakyat (BR).

Feriz ditemuramah ekoran daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya proses peralihan kuasa Pak Lah dipercepatkan sebelum 2010.  “Pak Lah perlu bertindak segera menurut desakan Tan Sri Muhyiddin setelah berlakunya rentetan Tsunami politik yang berterusan sejak kekalahan BN pada PRU 12 yang lalu,” katanya. 

PAK LAH LEBIH DIPANDANG MULIA JIKA LETAK JAWATAN SECARA PROFESIONAL, TETAPI DIPANDANG HINA JIKA DIUSIR

“Rakyat Malaysia juga sedar bahawa ProWaris sendiri telah berulang-kali memberi usulan tegas kepada Pak Lah supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia sekaligus sebagai Presiden UMNO-BN. Saya berpendapat bahawa Pak Lah akan dipandang lebih mulia sekiranya beliau meletakkan jawatan secara professional tetapi beliau pasti akan dipandang hina sekiranya beliau diusir keluar dari UMNO-BN,” kata Presiden ProWaris.

"Oleh yang demikian, adalah lebih wajar sekiranya Pak Lah meletakkan jawatan dalam jangkamasa terdekat dan bukan pada 2010 setidak-tidaknya sebelum Undi Tidak Percaya berlaku," tambahnya lagi.

“Namun, kami menjangka Pak Lah akan terus berdegil dan menganggap bahawa saranan tegas daripada Tan Sri Muhyiddin yang merupakan Naib Presiden UMNO paling berpengaruh itu boleh diabaikan dan ditepis dengan mudahnya,” kata Feriz. 

"Masa semakin suntuk dan perubahan politik dan ekonomi perlu berlaku secara serta merta dan saya merasakan bahawa Kempen Undi Tidak Percaya Di Kalangan Pemimpin-Pemimpin BN Terhadap Pak Lah perlu bermula,” tegasnya. 

TIGA PERKARA MEMUDAHKAN KEMPEN UNDI TIDAK PERCAYA TERHADAP PAK LAH MELALUI B.N. BERBANDING P.K.R.

“Pandangan saya mengenai Kempen Tidak Percaya Di Kalangan Pemimpin-Pemimpin BN Terhadap Pak Lah itu amat realistik dan tepat memandangkan ianya lebih mudah dilaksanakan berbanding kempen yang cuba dianjurkan oleh Dato’ Seri Anwar melalui PKR dan Barisan Rakyat,” ujarnya. 

“Pertama, Cadangan Kempen Tidak Percaya Terhadap Pak Lah Daripada Pemimpin-Pemimpin BN ini tidak menanggung kos yang tinggi atau kemungkinan tidak menanggung kos langsung; Kedua, kempen ini juga tidak akan mengganggu-gugat kedudukan mana-mana pemimpin BN yang menyokong kerana mereka tidak perlu lompat parti, sekaligus dapat mengelakkan tuduhan “tidak setia” dan; Ketiga, kebarangkalian untuk ianya direalisasikan adalah tinggi memandangkan perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan tertinggi BN semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini,” kata Feriz. 

SAPP PERNAH GAGAL, UMNO BOLEH BERJAYA?

Apabila ditanya kegagalan Sabah Progressive Party (SAPP), parti kompenen BN yang pernah menganjurkan cadangan yang sama baru-baru ini, Feriz menyatakan kempen sebegini seharusnya dianjurkan oleh parti yang berpengaruh seperti UMNO sendiri memandangkan UMNO mewakili komuniti terbesar dalam BN.

MUHYIDDIN-PROWARIS BERPAKAT?

Dalam siaran langsung ulasan PRU-12 di TV3 pada Mac lalu, Presiden ProWaris itu telah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO sebagai Menteri yang paling “outperform” dan paling layak menggantikan Dato’ Seri Rafidah Aziz yang telah memonopoli Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri terlalu lama sehingga tidak memberi ruang pendedahan kepada mana-mana Menteri lain.

“Cadangan Kempen Tidak Percaya Terhadap Pak Lah Melalui BN adalan bukan persoalan berpakat ataupun tidak. Ini persoalan tanggungjawab. Kami, di ProWaris akan dan sedang bekerja dengan semua pemimpin tidak kira dari dalam mahupun dari luar BN sehinggalah objektif kami supaya mana-mana pemimpin Melayu dan pemimpin Islam yang lemah disingkirkan akhirnya," ulas beliau. 

JANJI PROWARIS – SEDIA BERTEMU MANA-MANA PEMIMPIN PADA BILA-BILA MASA DAN DI MANA JUA UNTUK MENGATUR STRATEGI

Janji Feriz, ProWaris akan terus bergerak dan sentiasa bersedia untuk bertemu mana-mana pemimpin pada bila-bila masa dan di mana jua agar pemimpin Melayu yang paling lemah dalam sejarah 51 tahun merdeka itu digantikan oleh tokoh pemimpin yang benar-benar mempunyai kemampuan untuk mengutamakan Agenda Melayu dan Agenda Islam dalam pentadbiran negara.

Komen