PROWARIS : Katalis Kebangkitan Bangsa Melayu Abad Ke-21
Pergerakan PROWARIS, daripada sengkatan "Generasi Profesional dan Pewaris Bangsa", telah bermula pada tahun 2001 sebagai sebuah kumpulan diskusi informal yang berpengangkan kepada wadah perjuangan Profesional Melayu Abad Ke-21. Inisiatif ini dipelopori oleh sekumpulan Profesional Melayu di tengah-tengah kemelut Bangsa Melayu menghadapi tekanan serius ekoran daripada isu-isu "Pengantarabangsaan", "Global" dan "Hak-Hak Kesaksamaan" daripada dalam dan luar negara.
Bermulanya Perjuangan
Gerakan PROWARIS hari ini bermula daripada penganalisaan statistik yang menunjukkan jurang serius dalam jumlah Profesional Melayu berbanding jumlah Profesional Bukan Melayu di beberapa buah firma profesional.
PROWARIS bersependapat dengan Pemimpin-Pemimpin Melayu dan merasakan bahawa agenda Bangsa Melayu perlu didahulukan agar Peristiwa 13 Mei 1969 akibat ketidakseimbangan ekonomi tidak berulang.
Sekiranya agenda PROWARIS membangkitkan Bangsa Melayu berjaya, agenda Malaysia untuk Cemerlang, Gemilang dan Terbilang juga akan tercapai. Kita perlu elakkan sikap terlalu mengejarkan agenda Malaysia kerana ia akan mengakibatkan anak bangsa kita hidup melarat dan merempat di tanah air sendiri.
PROWARIS mengorak langkah pertama dengan menfokuskan usaha untuk mempertahankan hak Melayu Profesional kerana ia merupakan tunggak dominasi ekonomi negara pada hari ini. Barisan Peneraju PROWARIS merasakan bahawa sudah sampai masanya untuk memulakan gerakan kebangkitan Bangsa yang strategik lagi efektif.
MENGATUR KEJAYAAN MELALUI PEMIKIRAN STRATEGIK DAN GERAKAN EFEKTIF