This Space Will Be Updated from Time to Time
Media Unit
ProWaris Malaysia


PESANAN : SERUAN SUPAYA MELAYU PROFESIONAL BERSATU DI PROWARIS MALAYSIA


Assalamualaikum wbt.

Saudara-saudari sekalian,

Saya bagi pihak Barisan Peneraju, Ahli-Ahli Kehormat Majlis Penasihat dan seluruh warga Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris) Malaysia memohon agar saudara dan saudari sekalian dapat memanjangkan salam kasih dan hormat kami kepada seramai mungkin anak-anak Melayu Profesional di dalam dan luar negara.

ProWaris Malaysia membuka pintu seluas mungkin untuk menerima kehadiran ahli-ahli baru yang sedia berjuang dari segi waktu, tenaga, pemikiran dan sebagainya demi penyatuan semula Rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu dan yang beragama Islam.

Kami yakin dengan penggembelingan tenaga Melayu Profesional, kita akan berjaya kembalikan kemartabatan Bangsa Melayu dan Agama Islam sekaligus meletakkan kedudukan politik, ekonomi dan kesejateraan negara di tempat asalnya, insyaAllah. 

PROFESIONAL MELAYU
- BERANI, AMANAH, DISIPLIN, RAJIN, SETIA, TAQWA- 

Wassalam.

FERIZ OMAR
Presiden ProWaris Malaysia
Tel : 03-2164 6488  |  Faks : 03-2164 7488
www.prowaris. org
prowaris@yahoo. com
prowaris@yahoogroups.com

KEAJAIBAN CINTA - FERIZ OMAR & FIFI NOOR HAFIZA (PELBAGAI AKHBAR & MAJALAH)

AKHBAR KOSMO : INILAH KEAJAIBAN CINTA
Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my 

WAJAH jelita dan kehalusan budi Fifi membuatkan Feriz terpaut dan menjadikannya sebagai permaisuri di hati.

TAKDIR Yang Maha Kuasa penentu segala-gala. Perkenalan dua jiwa - pengacara dan pelakon popular, Fifi, 25 dengan penganalisa politik dan ekonomi, Feriz Omar, 35, sejak tahun 2006 sekadar beralas atas nama sahabat, tanpa membibit bunga asmara.

Tiada perasaan cinta yang mekar, tiada juga haruman kasih terjalin, justeru keakraban dua teman ini belum bercambah hala tujunya.

Jam pantas memutar waktu. Tali pengikat perhubungan mereka menjadi sedikit renggang, namun bukanlah terputus di pertengahan jalan.

Sebaliknya, mereka tidak menghubungi sesama sendiri dan jarang berkesempatan bertanya khabar gara-gara kesibukan kerja yang tiada berpenghujung.

Masing-masing mempunyai tuntutan dan komitmen sendiri dalam memperjuang hidup di alam ini. Boleh dibarat si gadis menghala ke arah Timur dan si jejaka pula menghayun haluan ke laluan Barat.

Hinggalah suatu hari yang indah tertulis oleh-Nya, dua insan ini ditemukan sekali lagi penghujung Mac lalu dengan secara kebetulan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur.

Tidak sekadar terleka dengan peluang keemasan yang mendatang, Fifi dan Feriz mula jatuh hati. Dan tarikh keramat 8 Ogos 2008, mereka disatu semula di tempat sama, tetapi secara sah dalam hukum Islam sebagai suami isteri.

Itulah perjalanan cinta Fifi bersama Feriz yang disifat menerbit 'keajaiban', malah seakan mendapat limpahan cahaya dan keberkatan Ilahi.

Kedua mempelai ini dinikah bapa Fifi, Saharuddin Othman, 56, di hadapan Imam Besar merangkap Jurunikah masjid tersebut, Ustaz Hazman Hashim, 33, pukul 9.30 pagi.

Pantas mengukuh bicara, Feriz mengakui selepas bertemu pada tahun 2006, masing-masing belum memiliki perasaan, malah dia dan Fifi sedang giat mengurus bisnes dan mengukuhkan karier.

"Pada satu hari, saya ingin membeli sebuah majalah setelah melihat kulit depannya adalah gambar Fifi. Malangnya, saya tidak bawa duit, lalu naik ke pejabat sekali gus melupakan hasrat itu.

"Selepas itu, saya ingin menelefon seorang teman, tetapi terlihat nombor Fifi dalam simpanan telefon bimbit.

"Saya memberanikan diri untuk hubungi dia. Kami menanya khabar antara satu sama lain. Petang itu juga saya dan Fifi merancang untuk bertemu di Bangsar.

"Sebab masih belum menunaikan solat Zohor, saya meminta izin daripada Fifi terlebih dahulu bahawa saya sampai sedikit lewat seperti dijanjikan.

"Memang takdir Allah, rupa-rupanya Fifi pun berada di masjid itu bagi menyempurna ibadah. Rasa cukup mengejutkan buat saya dan Fifi apabila secara kebetulan bersua.

"Dari situ kami bertemu semula dan menjadi rapat," kata Feriz menyelongkar kejadian yang dianggap begitu menakjubkan itu.

Penuhi syarat IslamFifi yang asyik mengerling manja kepada Feriz memberitahu, Feriz diumpama lelaki yang memenuhi syarat dan kriteria buat wanita Islam.

Anak kedua daripada empat bersaudara ini mengaku selalu berdoa kepada Tuhan agar dipertemu dengan seorang lelaki yang dapat memberi kebahagiaan dan membimbing ke arah jalan kebenaran.

"Syukur sangat sebab saya dijodoh dengan Feriz. Saya cukup menghormati dia, malah saya rasa Tuhan memakbulkan niat saya untuk disatukan dengan lelaki yang saya anggap lengkap buat hidup saya.

"Saya tahu Feriz bakal memimpin saya untuk jadi muslimat lebih baik, malah saya yakin dia berupaya membimbing saya di dunia atau akhirat."

Sementara itu, Feriz memandang keistimewaan dan keunikan wanita bergelar Fifi dalam sudut berbeza. Agak berbeza juga daripada pandangan sesetengah kaca mata golongan lelaki lain.

"Semua kriteria yang saya idamkan terutama mereka yang benar-benar menjalani kehidupan sebagai Muslim, ada pada Fifi.

"Saya dan Fifi mempunyai minat sama. Kami gemar berhujah dan selalu memperjuang isu-isu agama dan negara. Kami juga amat meminati bidang penyiaran.

"Lantaran itu, saya dan Fifi sentiasa mencari jalan untuk melakukan perjuangan lebih kreatif untuk Islam dan bangsa Melayu," jelas Feriz yang merupakan Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).

Sambut Feriz lagi, dia beranggapan Fifi bak muslimat anggun terakhir sekali gus menjawab segala pertanyaan ramai kala ditanya tentang 'aset' tetap yang kini bersatu dalam hidupnya.

"Senang saya katakan, Fifi seperti muslimat anggun terakhir. Dengan itu, saya dapat menjawab segala pertanyaan tentang keistimewaan Fifi," jelasnya yang mengikat tali pertunangan dengan Fifi ada 20 Julai lalu.

Tidak halang karier FifiTanggungjawab sebagai pengacara dan terbaru melibatkan diri dalam telefilem arahan Erma Fatima, Qasidah Buat Laila bagi siaran Astro Oasis menjelang Ramadan ini, Fifi mengakui telah merencana karier seninya untuk masa depan.

Fifi yang jelita mengenakan busana putih sedondon dengan tudung ilham pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo mengumumkan Qasidah Buat Laila bakal menjadi drama terakhir untuk dirinya.

"Saya sudah buat keputusan ingin fokuskan pada benda lain termasuk rumah tangga, bisnes dan bidang pengacaraan.

"Keputusan saya muktamad. Tidak mahu lagi melibatkan diri di dalam dunia lakonan. Bukan saya dipaksa suami, sebaliknya ini merupakan kemahuan saya sendiri," bicara Fifi yang enggan menuruti amalan merancang famili selepas mendirikan rumah tangga.

Feriz menyampuk: "Sebagai suami, saya sentiasa menyokong kerjaya Fifi. Tiada sebarang penetapan syarat buat Fifi bagi melibatkan diri dalam dunia seni.

"Sebelum ini pun saya sering hantar dan menjemput Fifi daripada lokasi penggambaran tidak kira masa dan waktu.

"Selepas berkahwin, saya tetap akan melakukan rutin sama. Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan keselamatan Fifi walau ke mana jua dia berada," luah Feriz.

Dengan mas kahwin sebanyak RM1,000 dan wang hantaran berjumlah RM50,000, Fifi akhirnya sah menjadi isteri Feriz dengan sekali lafaz akad nikah.

Majlis serba sederhana itu hanya dihadiri keluarga terdekat dan sahabat handai kedua belah pihak pengantin.

Pasangan sepadan ini akan mengadakan majlis persandingan berkonsep Diraja pada 17 Ogos ini bertempat di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur bermula pukul 8 malam.

Kata Fifi atau nama sebenarnya Noor Hafiza Saharuddin, tema upacara itu merupakan permintaan pengantin lelaki, lalu dia mempersetujui saranan itu.

Feriz menambah: "Biasanya mempelai akan mengenengahkan konsep kontemporari dalam majlis persandingan mereka.

"Berlainan pula bagi saya, lebih baik kalau acara itu diadakan dengan mengimbau kembali asal-usul budaya kita. Memandangkan kami adalah raja sehari, tiada salah hendak buat gaya di raja bukan?" soal Feriz lalu tersenyum.

Pasangan ini mengambil keputusan untuk menunaikan ibadah di Tanah Suci Mekah dua hari selepas majlis resepsi.

AKHBAR SINAR HARIAN : BERTEMU, BERNIKAH DI MASJID YANG SAMA
Artikel : Aida Azura Azemi
Foto : Nor Yanti Saharuddin


KUALA LUMPUR, 9 OGOS 2008 - Jika sudah jodoh tidak akan ke mana - itulah pepatah paling tepat untuk menggambarkan ikatan murni suami isteri yang termeterai antara Fifi dan Feriz, tepat jam 9.30 pagi pada tarikh keramat 08/08/08.

Jika dua tahun lalu mereka pernah bertemu atas urusan kerja namun ketika itu tiada magis cinta yang mengalir di hati masing-masing, jodoh antara mereka yang sudah tertulis di Luh Mahfuz menyaksikan pasangan ini kembali bertaut menerusi satu insiden yang tidak terduga.

"Satu hari saya dijemput ke majlis amal untuk kanak-kanak miskin. Ketika melewati sebuah kedai, saya terlihat wajah Fifi sebagai penghias kulit depan. Terdetik rasa hati untuk membelinya, tetapi duit pula tidak ada ketika itu. Saya terpaksa melupakan hasrat itu lalu meneruskan langkah ke majlis berkenaan.

Satu ketika, sewaktu saya mahu membuat panggilan telefon kepada rakan yang pangkal namanya bermula huruf "F", langsung terpandang pula nombor telefon Fifi dalam telefon bimbit. Saya terus menghubunginya dan menjemput Fifi datang ke pejabat saya untuk membantu aktiviti ProWaris. Fifi menjawab panggilan saya dengan baik malah menurutnya, dia selalu melihat saya di kaca TV lalu saya terus mengajaknya keluar bersama petang itu juga," cerita Feriz sambil menjeling Fifi yang tersipu-sipu di sebelahnya.

Mengimbau lebih jauh kenangan manis yang berlaku penghujung Mac itu, sebelum pertemuan Feriz menghantar mesej kepada Fifi menyatakan kelewatannya lantas dibalas perkara yang sama oleh Fifi. Rupa-rupanya, kelewatan mereka disebabkan oleh sebab yang serupa iaitu masing-masing mahu mengerjakan solat Zuhur terlebih dahulu. Ironinya, mereka bertemu di masjid yang sama! Sudahnya pertemuan mereka petang itu bukan sahaja disulami perbualan perihal diri malah mereka turut mengerjakan solat Asar dan Maghrib di masjid berkenaan. Masjid itu tidak lain dan tidak bukan, masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di mana mereka diijabkabulkan semalam.

Tambah Feriz, dia yang sekian lama mendambakan pasangan sebaik Saidatina Aisyah r.a berasa cukup gembira apabila Fifi juga pernah meluahkan harapan untuk mencontohi wanita mulia itu sekiranya bergelar isteri satu hari nanti. Sejak itu terdetik di hati Feriz, Fifi mungkin wanita paling cocok untuk dijadikan isteri, sekaligus melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah bagi menyambung perjuangannya untuk agama, bangsa dan negara selama ini.

Sekitar bulan Mei, hubungan mereka beranjak lebih jauh apabila Feriz mengajak Fifi bersama keluarganya mengerjakan ibadah umrah di Kota Suci Mekah bersama keluarganya. Di tanah haram itu, hati Feriz yang sedia terpaut pada Fifi tambah yakin betapa wanita yang manis bertahi lalat di dagu itu memang sesuai untuknya. Menurut Feriz, hatinya juga lega ketika itu apabila segala cabaran yang merentangi hubungan mereka terungkai dengan mudah. Lebih dari itu, dia cukup terkesan apabila Fifi menjaga ibunya yang kurang sihat ketika mengerjakan ibadah dengan baik.

Justeru, mereka terus sepakat untuk mengikat tali pertunangan pada 20 Julai lalu sebelum memilih tarikh 'cantik' 08/08/08 untuk disatukan. Ditanya mengapa angka lapan menjadi pilihan, Feriz menyatakan angka itu banyak berlegar dalam hidupnya. Dari lantai pejabat, plat kereta hinggalah nombor telefon, angka itu sering ditakdirkan muncul. Secara kebetulan, angka itu juga jatuh pada hari Jumaat yang sememangnya diidam-idamkan oleh mereka berdua kerana keberkatan penghulu hari.

RESEPSI 17 OGOS INI

Dalam majlis yang dihadiri oleh rakan taulan serta saudara mara terdekat semalam, Fifi yang dinikahkan sendiri oleh bapanya, Saharuddin Othman, 56 menerima mas kahwin RM 1,000 beserta wang hantaran berjumlah RM 50,000. Pihak pengantin lelaki turut membawa bersama tujuh dulang hantaran berona emas yang terdiri daripada sirih junjung, mas kahwin beriringan wang hantaran, cincin berlian habib Jewels bernilai RM 20,000 yang diserikan dengan bunga rampai, jubah muslimah, kek, wangian Bvlgari serta telefon bimbit HTC Diamond. Pihak pengantin perempuan pula membalas dengan sembilan dulang hantaran berona perak berupa sirih junjung, cincin Bvlgari bernilai RM 4,000, bunga rampai, buah-buahan, kek, coklat Patchi, wangian Carolina Herrera, telefon bimbit HTC Diamond dan pencukur elektrik Braun.

Kedua-dua mempelai yang setia memilih rekaan khas daripada Calvin Thoo dari majlis pertunangan hinggalah majlis persandingan ini bakal diraikan sekali lagi pada 17 Ogos ini di Sime Darby Convention Centre dalam satu majlis resepsi bertemakan "Perkahwinan Di-Raja".


AKHBAR UTUSAN MALAYSIA : FIFI, FERIZ KINI SUAMI ISTERI Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pengacara terkenal, Fifi atau Noor Hafiza Saharuddin selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Feriz Omar, 37, hari ini yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris).

Selain menerima wang hantaran RM50,000, bekas pengacara rancangan Bersamamu TV3 itu juga menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 selain tujuh dulang hantaran berwarna emas daripada Feriz.

Fifi, 25, pula membalas sembilan dulang hantaran berwarna perak antaranya sirih junjung, bunga rampai, kek, buah-buahan dan minyak wangi.

Pasangan berkenaan dinikahkan oleh bapa Fifi, Saharuddin Othman, 56, di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di sini pada pukul 9.30 pagi.

Bibit-bibit percintaan pasangan itu mula bercambah pada penghujung Mac lalu sejak pertemuan pertama mereka di TV9 pada tahun 2006.

Ketika ditemui selepas majlis akad nikah itu, Fifi dan Feriz tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran kerana kelancaran majlis tersebut.

"Syukur pada Allah kerana majlis pernikahan kami berjalan lancar, doakanlah agar jodoh kami kekal selamanya.

"Fifi sudah buat keputusan, selepas ini akan lebih fokus kepada keluarga dan bidang pengacaraan. Untuk lakonan, insya-Allah drama Qasidah Buat Laila adalah yang terakhir Fifi lakonkan," katanya.

Majlis resepsi pasangan itu bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini pada 17 Ogos ini.

Pasangan tersebut kemudiannya akan bertolak ke Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk berbulan madu sambil mengerjakan umrah.

AKHBAR KOSMO : FERIZ - FIFI SELAMAT DIIJABKABUL

KUALA LUMPUR, 9 Ogos 2008 - BERTEMU JODOH. Mereka berkenalan sejak dua tahun lalu dan sekadar bersahabat biasa, namun penghujung Mac 2008 cinta mula berputik dan semalam mereka diijabkabul sebagai suami isteri.

Itu perjalanan cinta bekas pengacara program Bersamamu TV3 Fifi atau nama sebenarnya Noor Hafiza Saharuddin, 25, dan Feriz Omar, 37, yang selamat bernikah di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur semalam.

Kedua mempelai dinikahkan bapa Fifi, Saharuddin Othman, 56, di hadapan Imam Besar merangkap Jurunikah masjid, Hazman Hashim, 33, pada pukul 9.30 pagi.

Dengan mas kahwin RM1,000 dan hantaran RM50,000, Feriz yang merupakan Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris bangsa (Prowaris) itu sah menjadi suami Fifi selepas satu lafaz akad nikah.

Dalam pada itu, pihak pengantin lelaki menghantar tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang daripada pihak perempuan termasuk sirih junjung, kek coklat, set pewangi, pakaian dan buah-buahan.


AKHBAR METRO : HARI BAHAGIA 4 PERSONALITI
Oleh Norhayati Nordin, Ahmad Elrafaei Sapi, Wan Asrudi Wan Hasan dan Rudy Imran Shamsudin am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR, 9 Ogos 2008 : Tarikh 8.8.08 semalam menjadi pilihan empat personaliti mengabadikannya sebagai hari bersejarah mereka.

Bekas pengacara program Bersamamu di TV3, Noor Hafiza Saharuddin atau Fifi, 25, diijab kabul dengan pakar penganalisis politik dan ekonomi merangkap Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris), Feriz Omar, 37.

Majlis akad nikah itu diadakan kira-kira jam 9.30 pagi di Masjid Abu Bakar As Siddiq, Bangsar.

Pengacara Wanita Hari Ini (TV3), Nor Azzura Azizul Azman atau Azzura, 24, dan pasangannya, Zain Azrai Dr Zaaba, 27, dinikahkan di Madrasah Islamiah Cheras Baru selepas solat Asar oleh Ustaz Husnul Yaqin.

Seorang lagi personaliti TV3, Nurhaizi Rani atau Haizi, 29, mengakhiri zaman bujang dengan ahli perniagaan, Ahmad Fazlan Abd Aziz, 42, di kediamannya di Bukit Antarabangsa.

Pasangan itu dinikahkan sendiri bapa Haizi, Mohd Rani Ab Ilah, 55.
Anggota Ruffedge, Mohd Kamarulzaman Zain Abdul Hamid atau Zain, 30, pula selamat disatukan dengan gadis pilihan, Khazmira Anuar, 25, di Taman Desa Kenanga, Semenyih, pada jam 10 malam.

Pasangan merpati dua sejoli itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Qariah Masjid Raja Muda Musa, Semenyih, Ahmad Shuhaimi Md Isa.

Pada majlis itu, Khazmira menerima wang hantaran, RM11,883, mas kahwin (RM80) dan hantaran tujuh berbalas sembilan. Tidak ketinggalan, cincin untuk acara batal air sembahyang.

Mengimbas detik pertemuannya dan suami, Fifi berkata mereka berkenalan pada 2006, namun mula rapat pada Mac lalu selepas bersua di Masjid Abu Bakar As Siddiq.

Justeru, mereka sepakat bernikah di masjid itu dengan hanya dihadiri ahli keluarga serta kenalan.

Di majlis pernikahan itu, Fifi menerima wang hantaran RM50,000 berserta mas kahwin RM1,000, termasuk tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.

Pasangan berkenaan mengikat pertunangan pada 20 Julai lalu.

Fifi yang bersyukur majlis pernikahannya berlangsung lancar, berkata dia dan suami sepakat memilih semalam untuk majlis akad nikah.

Malah, dia menyimpan impian menjadi isteri solehah buat suami tersayang itu.

Azzura pula berkata, perkenalannya dengan suami menerusi rakan kira-kira enam tahun lalu ketika melanjutkan pengajian di universiti.

Ketika itu, dia mengikuti kursus Diploma Seni Persembahan (Perfileman) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam manakala suami dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Pada majlis pernikahan itu, Azzura menerima wang hantaran RM12,000 bersama 13 hantaran berbalas 15.

Katanya, mengikut kepercayaan Cina, tarikh 8.8.08 dianggap membawa tuah kepada pasangan yang mendirikan rumah tangga.

Haizi bersyukur kerana majlis bersejarahnya direstui kedua-dua keluarga dan berlangsung dalam majlis ringkas tetapi meriah.

Dia menerima wang hantaran RM20,000 berserta mas kahwin RM1,000 dan hantaran tujuh berbalas 12 dulang.

Mengikut perancangan, pasangan itu akan mengadakan majlis resepsi di Dewan Tun Rahah pada 17 Ogos ini.

Komen